Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, tidak berdepan masalah untuk layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia apabila mudah menumbangkan gandingan China, Li Wen Mei-Liu Xuan-Xuan, di Jakarta sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keenam, pasangan negara itu mempamerkan dominasi penuh dalam set pembukaan, di mana mereka mendahului 13-10 sebelum meraih lapan mata berturut-turut untuk menang 21-10.

Aksi kemudian berlangsung lebih sengit pada awal set kedua tetapi selepas kedudukan terikat 10-10, Pearly dan Thinaah langsung tidak menoleh ke belakang untuk mencatatkan kemenangan selesa 21-12 hanya dalam masa 37 minit pertarungan.

Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara beregu India, Tanisha Crasto-Ashwini Ponappa, dan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, bagi perlawanan penentuan ke final esok.