Hasrat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, untuk melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Badminton Masters Indonesia tidak kesampaian selepas tewas kepada gandingan bukan pilihan dari China, He Ji Ting-Shou Hao Dong, dalam aksi suku akhir sebentar tadi.

Selepas tewas dalam final Terbuka India minggu lalu, Aaron dan Wooi Yik sepatutnya menjadikan kejohanan kali ini sebagai pentas untuk mempamerkan kebangkitan tetapi hasat itu terhenti apabila mereka tewas dalam aksi set langsung di Jakarta.

Beregu juara dunia negara itu pada awalnya kelihatan menguasai set pertama, di mana mereka mendahului 11-8 tetapi kemudian membenarkan lawan memperoleh lima mata berturut-turut untuk ketinggalan 11-13 sebelum akur dengan kekalahan 17-21.

Segalanya kelihatan tidak menjadi dalam set kedua apabila Aaron dan Wooi Yik tidak pernah mendahului selepas memperoleh mata pertama sebelum akur dengan kehebatan lawan untuk menamatkan aksi selama 39 minit itu dengan kekalahan 10-21.