Hasrat beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, untuk ke final Kejohanan Badminton Masters Indonesia tidak kesampaian selepas tewas kepada gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, dalam perlawanan separuh akhir di Jakarta sebentar tadi.

Berdasarkan empat pertemuan lalu, Pearly dan Thinaah menang dua daripadanya, sekali gus memberikan gambaran bahawa pertemuan kali ini akan berlangsung dengan seimbang.

Bagaimanapun, permulaan perlahan yang dipamerkan wakil negara itu mengundang padah apabila mereka bergelut untuk menyaingi rentak permainan lawan sebelum akur dengan kekalahan 14-21.

Pearly dan Thinaah menerbitkan sedikit harapan dalam set berikutnya apabila jauh mendahului 12-5 tetapi Pearly kemudian kelihatan mula bergelut dengan keceederaan.

Ketika mendahului 17-14, pasangan negara itu membenarkan lawan memperoleh lama mata berturut-turut untuk ketinggalan 17-19 sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan itu dengan kekalahan 19-21 selepas bertarung selama 51 minit.