Pemain pilihan kelima, Matteo Berrettini, bergelut pada awal permainan sebelum bangkit menewaskan Albert Ramos-Vinolas dalam pusingan kedua Masters Cincinnati hari ini.

Pemain nombor lapan dunia dari Itali itu melakukan penampilan pertamanya sejak tewas kepada Novak Djokovic dalam final Kejohanan Wimbledon bulan lalu.

Lawan dari Sepanyol, Ramos-Vinolas, memenangi 7-6 selepas penentuan tie-break set pertama tetapi Berrettini bangkit melakukan 25 ace dalam perlawanan itu -- 84 peratus matanya terhasil daripada servis pertama --untuk menang 6-3, 7-5 dalam dua set berikutnya.

"Saya gembira dengan kemenangan ini. Saya fikir saya melakukan servis dengan amat baik.

"Pukulan saya dari garisan belakang tidak menjadi seperti yang saya harapkan tetapi saya sedar sejak dari awal bahawa sudah lama saya tidak bermain, terutama di gelanggang keras, jadi saya sudah menjangkakan akan ada sedikit perasaan janggal," katanya.

Perlawanan itu berlarutan selapa dua jam dan 20 minit sebelum jaguh Itali itu menggunakan pukulan kilasnya untuk memenangi set terakhir.

Berrettini, dengan rekod 33-7 sepanjang musim ini, akan bertemu sama ada pemain pilihan ke-12, Felix Auger-Aliassime, atau Karen Khachanov dalam pusingan ketiga.