Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tiada masalah untuk mara ke suku akhir Masters Indonesia esok.

Aaron-Wooi Yik antara lima lagi pasangan Malaysia yang masih bernyawa untuk mengibarkan Jalur Gemilang di Bali dan pilihan kelima itu hampir tak diberi tentangan oleh wakil muda tuan rumah, Panjer Aji Siloka Dadiara-Bryan Sidney Elohim, hari ini.

Aaron-Wooi Yik menghantar bulu tangkis ke segenap penjuru gelanggang buat seteru itu kepenatan untuk menawan set pertama 21-12 dalam masa 10 minit.

Walaupun Panjer-Bryan masih belum cukup ampuh bagi menggugat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu apabila pengalaman jelas membezakan mereka untuk beregu Malaysia berkenaan menang 21-8 dalam tempoh 21 minit.

Namun, mereka berdepan ujian getir esok apabila bakal berhitung dengan jaguh Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.





Satu lagi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, pula perlu mengerah kudrat untuk menidakkan cabaran wakil tuan rumah, Shohibul Fikri-Bagas Maulana, menerusi satu pertembungan sengit.

Biarpun berjaya mengesahkan kemaraan menerusi kemenangan straight set, gandingan negara itu diajak berkerja keras dalam setiap set -- bermula dengan aksi set pertama yang menyaksikan Sze Fei-Izuddin perlu fokus mengekang asakan lawan sebelum mencatat kemenangan 21-18.

Drama berlaku dalam set kedua apabila beregu negara itu hampir dikejutkan dengan kemenangan lawan selepas gandingan Indonesia tersebut mendahului cabaran di kedudukan 20-18.

Mujur ketekalan dan tumpuan jitu daripada Sze Fei-Izuddin berhasil menidakkan hasrat Shohibul-Bagas apabila meraih empat mata berturut-turut untuk menang 22-20 dalam aksi 42 minit.

Mereka akan bertemu dengan rakan senegara dari bahagian profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang turut menewaskan pencabar dari Indonesia.