Tinggal dua wakil negara sahaja dalam Kejohanan Badminton Master Indonesia selepas pusingan suku akhir sebentar tadi.

Khabar gembira dari Bali bermula dengan kemaraan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Beregu nombor satu negara itu mencipta kejutan menewaskan gandingan emas Sukan Olimpik Tokyo dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, menerusi keputusan straight set.

Turun selaku pilihan kelima, Aaron-Wooi Yik diramal bakal berdepan cabaran sukar apatah lagi lawan yang dihadapinya memiliki reputasi menakjubkan sejak kebelakangan ini.

Namun, status bukanlah satu yang menggentarkan gandingan negara itu apabila mereka bermula cemerlang menerusi kemenangan mudah 21-13 dalam set pertama.

Kebangkitan yang didamba juara Sukan Olimpik itu sekali lagi disekat Aaron-Wooi Yik, yang mengintai kejuaraan sulung tahun ini, terus mempamerkan permainan kemas untuk menoktahkan cabaran lawan menerusi kemenangan mudah 21-15.

"Kami tidak pernah ke atas mereka sebelum ini jadi ini satu keputusan yang bagus buat kami untuk perlawanan seterusnya," kata Aaron.

Wooi Yik, bagaimanapun, enggan terbawa-bawa dengan kemenangan hari ini selagi mereka belum dapat memuktamadkan kejuaraan mereka.

"Kami perlu fokus kepada perlawanan selepas ini. Kami kerap terkandas dalam separuh akhir dan final, jadi kami ambil (kegagalan sebelum ini) sebagai pengalaman," katanya.

Sementara itu, beregu profesional , Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, bakal berdepan ranjau esok apabil apilihan utama dari tuan rumah, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Mereka mengetepikan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, 21-13, 18-21, 21-18.






Dalam acara beregu wanita pula, Pearly Tan-M Thinaah, yang mudah menundukkan Fitriani Fitriani-Yulia Yosephine dalam masa hanya 29 minit, semalam, terpaksa akur dengan kehebatan beregu pilihan nombor empat kejohanan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Beregu wanita negara yang kini menduduki ke-18 dunia itu tidak mempamerkan gentar berdepan Nami-Chiharu apabila cuba meletakkan bulu tangkis ke segenap penjuru gelanggang dengan mengutip mata demi mata untuk ditinggalkan 14-21.

Faktor fizikal dan pengalaman diterapkan gandingan Jepun itu dalam set kedua memaksa pasangan negara melakukan kesilapan dan tahap kecergasan nyata memihak wakil dari Negara Matahari Terbit ini.

Semangat juang Pearly-Thinaah wajar dipuji walaupun ditunjuk jalan keluar dengan mata 15-21.

Ia juga pencapaian terbaik mereka untuk melangkah ke suku akhir buat kali keempat tahun ini.