Malaysia Profesional Wrestling (MYPW) makin mencipta nama di kalangan peminat gusti Malaysia yang dahagakan aksi hebat seperti World Wrestling Entertainment (WWE).

Realitinya, Malaysia tidak memiliki penggusti meskipun acara itu dipertandingkan hingga Sukan Olimpik.

"Selepas berlatih di sini, saya mahu pergi lebih jauh lagi.

"Kalau boleh pergi ke Sukan Olimpik, mengapa tidak saya mencuba?

"Kalau pun saya tak layak, mungkin rakan-rakan lain boleh cuba. Itu adalah salah satu impian saya," kata atlet gusti MYPW, Mohammad Afif Fahmi Mokhtar.

Gusti merupakan acara sukan terawal yang dipertandingkan dalam Olimpik.

Olimpik Rio misalnya, menyaksikan 10 emas dimenangi oleh atlet Asia dengan Jepun mengetuai dengan kutipan empat emas.

Itu petanda bahawa atlet benua ini mampu bersaing dengan jaguh luar negara.

Namun, malangnya Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara ini.

"Gusti amatur atau gusti Olimpik masih tidak profesional. Senarionya memang mati, tidak ada tenaga pengajar dan kumpulan yang menubuhkannya.

"Apabila kita belajar gusti profesional, kami mewajibkan pelajar kami mempelajari teknik gusti amatur.

"Jadi, daripada situ, mungkin boleh memupuk mereka supaya cenderung ke arah gusti Olimpik," kata penganjur MYPW, Ayez Shaukat Fonseka.