Malaysia tidak boleh lagi bersandar kepada pengaruhnya sebagai gergasi badminton dunia ketika skuad negara terus bergelut untuk mencabar seteru Asia Tenggara, Indonesia dan Thailand.

Ketika Malaysia kekal di tangga kelapan dalam ranking berpasukan dunia, Indonesia pula sudah memecah masuk ke kelompok tiga terbaik dunia di belakang Jepun dan China.

Kemas kini ranking pada April lalu turut menyaksikan Thailand berada dalam kelompok lima terbaik.

Berdasarkan dua komponen pengiraan mata ranking, termasuk ranking secara individu bagi setiap lima kategori, Malaysia diklasifikasikan badan induk, Badminton Asia, sebagai pasukan dalam pembentukan semula.

"Agak malang buat Malaysia yang kedudukan ranking dunianya sudah banyak jatuh," kata Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh.

"Tidak ramai pemain Malaysia yang menduduki ranking 20 terbaik dunia.

"Saya rasa perkara itu tidak pernah berlaku dalam tiga atau empat tahun ini.

"Jika kita membuat satu penilaian yang adil, mungkin BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sedang membina semula pasukan dengan memberikan lebih pendedahan buat pemain-pemain muda.

"Mungkin disebabkan itu, kita tidak dapat melihat pemain di kedudukan ranking terbaik," katanya.