'Tiada pilihan', itu luahan beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying selepas kembali menyertai latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Difahamkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lagi membenarkan Peng Soon-Liu Ying berlatih di luar selepas kerajaan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

59 hari menuju pembukaan temasya sukan terbesar dunia itu, Liu Ying mempunyai hasrat terpendam khususnya bagi mendapatkan suasana pertandingan sebenar.

"Jika boleh, ABM boleh menganjurkan kejohanan dalaman bagi meningkatkan semangat serta mentaliti menuju kejohanan penting namun jika ia tidak dapat dilakukan tiada masalah kerana semua menghadapi kesukaran yang sama," kata Liu Ying.

Sementara itu, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu berpuas hati selepas permintaannya diterima untuk menjadikan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sebagai rakan sepelatih sepanjang tempoh 10 hari kuarantin sebelum mendapat kebenaran berlatih bersama pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang lain.