Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying, memberi bayangan untuk kekal di atas gelanggang biarpun sudah berpisah dengan pasangannya, Chan Peng Soon.

Selepas hampir dua bulan, bekas pemain beregu campuran profesional itu seolah-olah sudah bersedia untuk mengumumkan keputusan kelangsungan kariernya.

Pemain berusia 32 tahun itu menjelaskan kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, bahawa masih memerlukan ruang dan waktu dalam membuat pertimbangan mengenai masa depannya.

"Mungkin paling cepat pun saya akan beritahu pada Mac depan atau siapa yang akan bergandingan dengan saya.

"Mungkin (daripada segi persiapan) akan bermula awal bulan depan kerana saya mungkin akan menyertai kejohanan pada bulan seterusnya," katanya dalam majlis penajaan Li-Ning di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota.





Sebelum ini, Liu Ying-Peng Soon mengambil keputusan untuk memilih haluan berbeza selepas Kejohanan Badminton Final Jelajah Dunia, bulan lalu.

Peng Soon kemudian kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), meletakkan status Liu Ying menjadi tanda tanya.

Dalam pada itu, Liu Ying dan Tan Boon Heong mempunyai pandangan yang sama susulan isu Goh Jin Wei yang mahu kembali beraksi secara profesional musim ini.

Untuk rekod, Liu Ying dan Boon Heong mempunyai pengalaman sama apabila mula beraksi dibawah badan induk itu sebelum bergerak secara sendiri.

"Saya berpesan kepadanya kalau ingin beraksi, janji dia sihat kerana itu sudah cukup.

"Di BAM, dia mungkin akan dapat latihan yang lebih sistematik dan dalam profesional pula, dia boleh menyesuaikan latihannya berdasarkan kesihatan.

"Kalau ingin untuk prestasi tekal, mungkin BAM adalah tempatnya. Tapi kalau dia tidak dapat ikuti latihan penuh, dia sendiri yang mungkin tertekan.

"Apa yang paling penting adalah kesihatannya," katanya lagi.

Menurut Boon Heong pula: "Saya harap fokus dan berikan 100 peratus dalam setiap latihan dan kejohanan tetapi dia harus ketepikan dulu soal pencapaiannya, janji dia dapat buat yang terbaik demi negara."