Pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying, bukan sahaja berdepan ujian besar untuk kembali beraksi hujung tahun ini tetapi juga bagaimana menangani peranan membimbing gandingan yang lebih muda.

Bekas pasangannya, Chan Peng Soon, tidak pernah ada masalah membentuk persefahaman bersama rakan lebih muda seperti Cheah Yee See pada ketika ini.

Ujian yang belum pernah dilalui Liu Ying apabila dijadualkan untuk beraksi bersama pemain meningkat naik, Chen Tang Jie, dalam beberapa kejohanan hujung tahun ini.

"Saya melihat Liu Ying boleh membimbing, cuma keadaannya perlu bagus dahulu. Jadi, dia boleh mengendalikannya.

"Tetapi sekarang, keadaan kecergasannya baru 70 peratus. Dia belum pulih sepenuhnya," kata jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang.

Cheh Chang bagaimanapun lebih mementingkan aspek pemulihan Liu Ying yang tidak beraksi sejak April lalu susulan pembedahan bahu.

Dalam tempoh dua bulan ini, Liu Ying menampakkan perkembangan positif terhadap keperluan menangani latihan intensif.

"Dalam latihan, sistem latihan yang diterapkan memang untuk pemain muda. Cuma, apabila pemain dari kelab datang ke skuad negara, ia agak berbeza disebabkan kaedah latihan yang berbeza.

"Diharapkan Tan Jie dapat mengikuti rentak dengan lebih cepat," tambah Cheh Chang.

Pencapaian Chan Peng Soon-Cheah Yee See

Mula digandingkan: Jun 2017
Ranking dunia: 39

• Juara GP Russia 2017
• Gangsa Sukan SEA 2017
• Separuh Akhir Siri Super Terbuka Korea 2017
• Separuh Akhir GP Vietnam 2017
• Suku Akhir Siri Super Terbuka Australia 2017