Tatkala rakan sepasukan berjuang dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini, pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying, terpaksa memerhati dari bangku penonton selepas menjalani pembedahan bahu, Mei lalu.

Walaupun sebelum ini dia pernah mengalami kecederaan lutut dan selamat menjalani pembedahan, Liu Ying menyifatkan proses pemulihan kecederaan bahu kali ini ada perbezaannya.

"Sewaktu menyaksikan rakan-rakan beraksi, mendengar jeritan penyokong di Arena Axiata, memang hati saya memberontak ingin beraksi.

"Proses pemulihan saya kini berjalan secara berperingkat kerana terdapat beberapa pergerakan yang masih belum lancar.

"Takut memang ada kerana kali ini melibatkan kecederaan yang berbeza. Sebagai contoh buat masa sekarang saya kurang menjalani yang melibatkan pergerakan bahagian atas," kata Liu Ying.

Dia kini sudah mula mencongak hala tuju karier bersama barisan jurulatih negara untuk memudahkan segala persiapan selepas pulih sepenuhnya nanti.

Mengenai gandingan akan datang, Liu Ying juga masih belum pasti sama ada akan kembali bersama Chan Peng Soon atau bakal memiliki gandingan baru yang lebih muda.

"Bergantung kepada sasaran yang ditetapkan. Jika mahukan keputusan lebih bagus, mungkin akan bersama Peng Soon dan jika mahu meningkatkan kualiti beregu campuran, mungkin akan berganding dengan pemain muda," katanya.