Penyerang skuad hoki UniKL, Mohd Hafiz Zainol, terpaksa menolak tawaran kelab Sonali Bank di Liga Hoki Perdana Dhaka, bermula Rabu ini.

Ia susulan isu peribadi yang memerlukan tumpuan Hafiz, situasi tersebut menyaksikan tiga pemain muda akan meneruskan perjuangan sebagai pemain import di Dhaka mewakili Sonali Bank iaitu Azrul Abd Rahman, Abd Khaliq Hamirin dan Zulhamizan Awang Abas.

Secara keseluruhan, tujuh pemain import akan beraksi di Liga Hoki Perdana Dhaka.

"Saya terpaksa menolak tawaran ke Bangladesh kerana perlu mengurus keluarga saya ketika ini. Saya agak kecewa namun saya meletakkan keutamaan kepada keluarga," kata Hafiz.

"Saya telah banyak beraksi dalam liga yang berbeza dan setiap peluang itu adalah pengalaman yang berguna dan berharap mereka yang akan ke sana dapat melakukan yang terbaik."