Lebih ramai dijangka digugurkan daripada skuad beregu lelaki

Penulis Jemputan
Jun 12, 2018 11:57 MYT
Kemelut mula berputik dalam skuad beregu lelaki negara apabila empat pemain setakat ini digugurkan daripada skuad kebangsaan dan dijangka lebih ramai lagi menerima nasib sama sebelum Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.
Empat pemain yang digugurkan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu diputuskan atas pelbagai sebab, terutama prestasi yang tidak memberangsangkan.
Mereka ialah Mohamad Arif Abdul Latif, Nur Mohd Azriyn Ayub, Ameer Amri Zainuddin dan Wong Wai Jun.
"Saya rasa keputusan itu (pengguguran) dibuat bersama. Kami menjalankan proses yang diatur oleh BAM.
"Selepas perbincangan melibatkan C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan), akhirnya keputusan itu dibuat," kata ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit.
Ditanya adakah lebih ramai yang akan digugurkan menjelang Ogos nanti, Soon Kit berkata: "Ia akan diteliti dengan lebih mendalam agar kami tidak terlepas pemain berpotensi.
"Ada pemain yang gembira atau sebaliknya tetapi kami sebagai jurulatih harus melalui proses BAM. Apa yang dikeluarkan BAM, kami mesti mengikut arahannya."
Arif dan Azriyn dalam masa yang sama sudah mengambil keputusan untuk kembali sebagai pemain profesional selepas mereka diberi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula April lalu.
Pemain-pemain lain dijangka akan mengikut jejak langkah yang sama.