Jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, akan menggunakan aksi persahabatan menentang New Zealand, hujung bulan ini sebagai medan memilih 18 pemain terbaik ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak.

Kesediaan wakil Oceania itu mengadakan aksi persahabatan melegakan Malaysia.

Menduduki ranking kelapan dunia, New Zealand merupakan pasukan pertama yang tiba awal ke Malaysia, sekaligus memberi ruang untuk Stephen melihat perkembangan pemainnya sebelum mengumumkan senarai 18 terbaik ke Ipoh.

"Selepas pusingan kedua di Dhaka, kami tidak ada sebarang pertandingan. Jadi, kami fokus dalam aspek latihan dan kecergasan.

"Dua perlawanan ini penting dalam menentukan tahap skuad kebangsaan kerana di Dhaka, kami berdepan lawan di ranking lebih rendah tetapi kali ini kami berdepan lawan yang menduduki ranking lebih tinggi," jelas Van Huizen.

Ketika ini, terdapat 23 pemain skuad utama selain beberapa pemain skuad pembangunan yang turut menyertai sesi latihan di Bukit Jalil.

Piala Sultan Azlan Shah adalah sebahagian daripada persiapan Malaysia menghadapi separuh akhir Liga Dunia di London, Jun depan yang juga Kelayakan Piala Dunia 2018.