Sejak sekian lama berdiam diri, perseorangan badminton wanita negara, S. Kisona, akhirnya membuka mulut mengenai serangan perkauman yang dialaminya ketika membawa cabaran negara dalam Piala Sudirman minggu lalu.

Ketika dia dan rakan sepasukannya mengerahkan keringat demi mengharumkan nama negara, masih ada individu yang sanggup mengeluarkan kata-kata perkauman terhadap dirinya.

Ia sesuatu yang dikesalkannya kerana baginya, tiada sebarang sentimen bangsa dan agama sewaktu berjuang demi negara Malaysia.

Selepas seminggu insiden itu berlaku -- yang dilaporkan dilakukan oleh seorang ahli politik -- Kisona akhirnya membuka hatinya untuk berbicara mengenai perkara itu dengan wartawan Astro Arena, Adam Zamri.

Dengan berlinangan air mata, dia berkata: "Ia memang sangat sensitif tetapi pada akhirnya, saya masih seorang manusia.

"Saya menyerahkannya kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia), keluarga saya dan pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini tetapi buat masa ini, saya hanya mahu fokus kepada kejohanan (Piala Uber di Aarhus, Denmark).

"Saya tidak tahu untuk berkata apa, saya hanyalah manusia.

"Saya hanya mengharapkan sokongan. Saya bukanlah sorang yang berbakat tetapi saya berusaha dengan amat keras.

"Saya melalui banyak perkara dalam hidup saya, daripada mengalami kecederaan sehinggalah saya berada di sini.

"Saya cuma berharap semua orang dapat terus menyokong saya."

Kisona tidak dapat meneruskan temu bualnya kerana tidak dapat menahan kesedihan dan jelas terkesan dengan insiden yang menimpanya itu.

Skuad badminton wanita negara ketika ini sedang bersaing dalam Kejohanan Piala Uber di Aarhus, Denmark.

Sebagai rekod, Malaysia menamatkan saingan Piala Sudirman dalam kelompok tiga terbaik biarpun hanya meletakkan sasaran untuk layak ke suku akhir.