Bekas pemain beregu negara, Koo Kien Keat, dilantik menjadi Pengarah Prestasi Tinggi, Badminton Asia bagi meningkatkan lagi pembangunan badminton di rantau ini.

Kien Keat pernah mengecapi kemasyhuran bersama pasangannya, Tan Boon Heong, dengan memenangi pelbagai gelaran antarabangsa sebelum bersara pada November tahun lalu.

Menerusi jawatan itu, tugas utamanya adalah menyediakan pelan dan program pembangunan untuk badminton di rantau ini.

"Kami mencari kesedaran minat terhadap sukan badminton di beberapa negara seperti Myanmar, Vietnam dan Mongolia.

"Ia di bawah projek Badminton Asia. Jadi, kami bekerjasama dengan negara terbabit untuk memberikan latihan, lebih peluang dan membawa pemain yang berbakat ke stadium kami," kata Kien Keat.

Presiden Badminton Asia, Anton Aditya Subowo, menyifatkan pemilihan bekas pemain itu adalah tepat berdasarkan pengalamannya dalam badminton.

Katanya, ia bertujuan untuk menaikkan imej badminton yang dilihat masih belum mencapai tahap potensinya di beberapa negara yang kurang popular dengan sukan itu.

"Alhamdullillah, dia tertarik dan mahu (sertai Badminton Asia). Jadi, kami akan lebih memahami apa yang diperlukan pemain dengan adanya bekas pemain sebagai pengelola.

"Ia juga akan memudahkan dalam hal komunikasi dan soal persefahaman," katanya.