Biarpun wujud khabar angin mengatakan pasangan beregu badminton wanita negara, Woon Khe Wei dan Vivian Hoo, bakal dipisahkan, Khe Wei yakin mereka akan terus diberikan kepercayaan sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini.

Khe Wei dan Vivian disasarkan meraih pingat emas dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi acara beregu wanita, namun perjuangan mereka terkandas di peringkat separuh akhir.

Kegagalan itu menyaksikan mereka berada dalam situasi bahaya dan berdepan kemungkinan dipisahkan, sama seperti beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Bagaimanapun, kejayaan muncul juara dalam Terbuka New Zealand, 6 Ogos lalu, mungkin boleh menyelamatkan mereka untuk terus dikekalkan.

"Kami masih tidak mendengar perkembangan mengenai kami akan dipisahkan.

"Kalau Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu pisahkan kami, nanti saya akan bincangkan dengan jurulatih. Sekarang saya hanya fokus kepada latihan dan tidak fikir tentang perkara ini," katanya.

Menurut Khe Wei, dia dan Vivian memasang impian untuk memenangi satu lagi kejohanan tahun ini, dengan Grand Prix Emas Terbuka Macau pada November ini menjadi sasaran paling realistik.

"Kejohanan di Macau adalah GP Emas dan ia belum lagi besar. Dalam kejohanan berstatus Siri Super disertai pasangan yang kuat dari pelbagai negara. Tetapi kami akan cuba untuk mara ke final."