"Saya bertanggungjawab atas segala yang berlaku," kata badang negara, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, sebaik sesi pendengaran kes dopingnya bersama panel Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) di sebuah hotel di Seremban hari ini.

Azroy Hazalwafie bersama seorang atlet muda Terengganu, Ikram Haikal Zuari, dikesan menggunakan dadah rangsangan jenis anabolic steroid dalam satu ujian yang diadakan pada Mei lalu.

Jika didapati bersalah, kedua-dua atlet negara itu berisiko digantung selama empat tahun daripada terlibat dengan sebarang aktiviti sukan.

Susulan itu, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengambil tindakan drastik untuk membubarkan skuad kebangsaan bermula awal bulan depan bagi mengelakkan sebarang masalah lebih besar, termasuk risiko persatuan itu sendiri digantung oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Azroy Hazalwafie, selepas sesi pendengaran kesnya, berkata dia mengambil pil tahan sakit yang dibeli sendiri itu tanpa merujuk kepada Insitut Sukan Negara (ISN) dan bersedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas segala yang berlaku kepada dirinya dan kes sama membabitkan Ikram Haikal.

Dia berkata kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi: "Saya berterima kasih kepada ADAMAS kerana sudi datang bagi sesi perbicaraan saya. Saya baru sahaja selesai sesi pendengaran dengan ADAMAS dan panel-panel yang lain.

"Saya sudah meluahkan segala yang saya perlu untuk mempertahankan diri saya dan berharap ADAMAS dapat mengurangkan penggantungan empat tahun agar saya dapat bersedia bagi menghadapi kejohanan selepas tahun 2024.

"Sukan Komanwel 2022 (Birmingham) nampaknya bukan rezeki saya dan saya redha. Buat masa ini, saya memerlukan semangat daripada kawan-kawan untuk meneruskan sukan ini."

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu menambah: "Saya sudah menjelaskan kepada ADAMAS dan panel mengenai bagaimana bahan terlarang itu boleh berada dalam sampel air kencing saya dan mereka akan membuat keputusan mengenai berapa tahun tempoh penggantungan saya.

"Saya juga akan bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kepada junior saya, Haikal, kerana mungkin silap saya juga kerana tidak merujuk kepada ISN atau mana-mana pihak kesihatan.

"Jadi, saya mahu menjelaskan kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Angkat Berat Terengganu bahawa saya akan bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kepada atlet mereka yang bernama Ikram Haikal.

"Apa yang sebenarnya berlaku, secara jujurnya saya bercakap, dia mengalami kecederaan belakang sewaktu sesi latihan bersama saya dan saya telah memberikannya satu ubat tahan sakit.

"Saya telah menjelaskan kepada pihak ADAMAS dan panel mengenai di mana saya mendapatkan ubat tersebut dan ubat itulah yang telah saya berikan kepadanya (Ikram Haikal).

"Saya sudah memaklumkan kepada pihak di Terengganu bahawa saya akan bertanggungjawab ke atas segala yang berlaku kepada Haikal.

"Dia masih terlalu muda (17 tahun) dan berpotensi. Mungkin silap saya kerana memberikan ubat itu kepadanya tanpa merujuk kepada doktor di ISN.

"Saya tidak menuding jari kepada sesiapa dan menuding jari kepada diri saya sendiri kerana ia semuanya memang salah saya, bukan salah sesiapa," katanya.