Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dapat memenuhi janjinya untuk menyelesaikan kes mengatur perlawanan membabitkan dua pemain profesional negara dalam tempoh sebulan.

Selepas berdiam diri, badan badminton dunia itu memberi sedikit penjelasan mengenai kes tersebut susulan sesi pendengaran yang dilakukan oleh panel bebas di Singapura minggu lalu.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, mahukan perkara itu diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan BWF supaya tindakan seterusnya boleh diambil badan induk berkenaan.

Selain itu, BAM juga kekal dengan pendirian untuk menghantar surat bantahan kepada BWF selepas wakilnya, Jadadish Chandra, dihalang daripada mengikuti hari kedua sesi pendengaran itu.

"Kami hanya cuba menuntut hak kami untuk mendapatkan penjelasan. Setiap peminat badminton di Malaysia sudah tentu mahu mengetahui mengapa tindakan terhadap Chandra itu dilakukan.

"Kami dalam proses pertengahan untuk menyiapkan surat bantahan dan akan menghantarnya secepat mungkin," katanya dalam majlis pengumuman lanjutan penajaan 100Plus bersama BAM di Petaling Jaya, hari ini.

Kerjasama yang terjalin sejak 2003 itu dilanjutkan sehingga 2019 dengan jumlah tajaan sebanyak RM1.75 juta, di samping menjadi penaja utama Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan.

"Secara asasnya, BAM telah dibantu dalam membangunkan pemain-pemain berkualiti, bermula daripada kejohanan peringkat belia menuju ke peringkat dunia," tambah Norza lagi.