Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menafikan masalah dalaman menjadi punca pemain beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly, mengambil keputusan keluar daripada badan induk itu.

Menurut Frost, kecederaan yang melanda mungkin mendorong pemain berusia 29 tahun itu mengambil keputusan tersebut.

"Saya fikir Amelia berasakan dia semakin berusia dan kerap dilanda masalah kecederaan. Dia mungkin fikir sukar untuk merebut peluang menyertai kejohanan. Ia boleh difahami."

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibincangkan semula dalam mesyuarat BAM akan datang bagi mencari penyelesaian sewajarnya.

Meskipun turut terasa ketiadaan Amelia dalam Sukan SEA pada Ogos depan, Frost meletakkan kepercayaan tinggi kepada pemain muda lain dalam misi merebut pingat emas buat negara.

"Kita masih mempunyai banyak masa sehingga akhir Jun untuk membariskan pemain (dalam Sukan SEA)," tambah Frost.

Terdahulu, Amelia mendakwa dia sukar untuk beraksi konsisten selepas kerap kali ditukar pasangan.

Dia yang mengambil keputusan keluar daripada BAM semalam, kini bergandingan dengan Goh Yea Ching selepas berpasangan dengan Soong Fie Cho dan Teoh Mei Xing.