Susulan penstrukturan semula program badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menegaskan bukan mudah untuk dia memujuk mentornya, Datuk Misbun Sidek, untuk kembali berkhidmat bersama skuad kebangsaan.

Chong Wei pasti antara individu yang paling teruja dengan kesudian Misbun kembali mengemudi skuad perseorangan lelaki.

Malah, Chong Wei berasakan legenda perseorangan negara itu adalah jawapan kepada masalah yang membelenggu perseorangan muda negara.

"Kami telah berbincang untuk kembali membantu badminton negara, terutama skuad perseorangan.

"Selepas berjumpa dengannya beberapa kali, kali ketiga barulah dia menyatakan persetujuan.

"Saya harap ia langkah baik bukan sahaja untuk saya, malah kepada skuad perseorangan negara," katanya.

Turut menyambut baik perkembangan ini adalah jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan.

Barisan kejurulatihan skuad itu termasuk Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob sudah bersedia dengan segala perubahan yang bakal dicongak Misbun apabila dia memulakan tugas secara rasmi, 1 Julai nanti.

"Saya ingin mengucapkan selamat kembali.

"Dulu kami pernah bekerjasama dan saya percaya dia bisa membuat sesuatu perubahan," kata Hendrawan.