Selepas menghadiahkan pingat pertama Sukan Olimpik Tokyo 2020 buat Malaysia, kem badminton negara tidak berlengah untuk melakukan persiapan bagi menghadapi dua tugas besar seterusnya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal membentuk pasukan bagi menghadapi Kejohanan Piala Sudirman pada 26 September-3 Oktober, disusuli Piala Thomas/Piala Uber 9-17 Oktober depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Woong Chan Hann, mengakui sudah ada perancangan awal sebelum memperhalusi senarai akhir rombongan ke Finland dan Denmark sambil mengambil semangat kejayaan meraih pingat gangsa dalam temasya Tokyo 2020 -- tatkala pemain negara yang tiba dari Jepun mula menjalani kuarantin sejak 2 Ogos lalu.

"Dua kejohanan ini berlangsung hampir berturut-turut. Kami biarkan pemain berehat sekejap.

"Kami akan cuba umumkan senarai nama yang berpotensi.

"Ada tiga nama yang pasti akan tersenarai iaitu Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki).

"Kami harap pemain muda dapat mengambil kesempatan mencontohi tiga nama ini berikutan semangat juang dan moral mereka yang sedang di tahap tinggi," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.






Walaupun tidak diberi tempoh panjang buat barisan tonggak yang mengibarkan cabaran di Plaza Sukan Musashino Forest yang lalu, Choong Hann menyifatkan ia satu cabaran yang perlu disahut.

"Untuk menjejak langit, menjadi pemain terhandal di dunia maka elemen serba boleh adalah kemahiran yang sangat penting. Semakin tingginya tahap maka makin rumit kehidupan mereka.

"Ini bukan alasan untuk tidak berjaya."

Sementara itu, Final Kejohanan Dunia akan dianjurkan di Huelva, Spanyol, 12-19 Disember depan.

*Kredit foto: asiana.my