Ketua jurulatih Kem Badminton Astro, Chan Chong Ming, menegaskan aspek kecergasan fizikal dan kelajuan memainkan peranan utama dalam memacu kualiti aksi di dalam gelanggang.

Selepas beberapa hari Kem Badminton Astro serta Akademi Badminton Nippon itu dilangsungkan, pengendali itu jelas berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan kesemua 30 peserta.

Namun, dia yang ditemui di Pusat Latihan Kebangsaan Tokyo hari ini tetap menegaskan bahawa elemen kecergasan fizikal dan kepantasan perlu dititikberatkan dalam usaha mendapatkan prestasi terbaik di dalam gelanggang.

"Saya rasa mereka tidak melalui proses yang sama. Hari pertama dan kedua tentunya sukar tetapi mereka dapat menyesuaikan diri. Mereka tidak berputus asa dan mahu membuktikan keinginan dan kebolehan," katanya.

"Bagi saya, ia melibatkan budaya berbeza. Tidak perlu belajar semua tetapi mereka perlu fikir apa yang terbaik secara individu. Jika ia bagus, mereka harus mempelajarinya. Mereka perlu cuba untuk belajar hanya buat diri sendiri."