Pemain golf wanita negara, Kelly Tan, optimis sukan golf mampu menjadi cabang sukan yang konsisten melayakkan diri ke Sukan Olimpik seandainya diberikan bantuan yang sewajarnya daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menjelang edisi di Paris pada 2024, Kelly sedar akan stigma masyarakat bahawa pemain golf semestinya memperoleh pulangan yang lumayan, terutamanya melibatkan jelajah antabangsa PGA dan LPGA.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu menjelaskan ia bukanlah semewah yang disangka, terutaman dalam misi mereka menaikkan ranking dunia bagi melayakkan diri ke temasya tertinggi berkenaan.

"Saya mengharapkannya (sokongan daripada KBS) kerana saya tidak terlalu mendapat sokongan daripada segi kewangan untuk melakukan apa yang sepatutnya," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Jadi, ia menjadi amat sukar buat saya kerana kebanyakannya hanya dibantu oleh penaja saya.

"Saya harap Majlis Sukan Negara (MSN) atau KBS dapat membantu kami kerana saya faham ia adalah sukan profesional tetapi kami mewakili negara setiap minggu, jadi saya fikir kami layak mendapat sedikit bantuan.

"Ia sesuatu yang saya harap akan ada perubahan menjelang Sukan Olimpik yang akan datang," katanya.

Kelly layak ke Tokyo secara merit berdasarkan kedudukannya di tangga ke-41 ranking kelayakan Persekutuan Golf Antarabangsa.

Persembahannya dalam temasya itu turut tidak mengecewakan, di mana dia menamatkan saingan selama empat hari itu di tangga ke-34 daripada 60 orang peserta, sekali gus memperbaiki pencapaiannya meraih tempat ke-51 dalam edisi di Rio lima tahun lalu.

"Saya fikir secara keseluruhannya, saya sudah lima tahun lebih tua, saya lebih matang dan permainan saya sudah banyak berubah.

"Amat baik untuk melihat saya dapat melakukan yang lebih baik berbanding edisi sebelum ini.

"Harap-harap saya dapat melakukan yang lebih baik di Perancis akan datang," tambahnya.