Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, terpaksa mengambil langkah drastik dengan melupakan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei, dalam perancangan membentuk wakil terbaik untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Setakat ini, tiada perkhabaran bilakah Chong Wei akan kembali beraksi di pentas kompetitif.

Jaguh negara itu sudah pun terlepas tiga kejohanan yang menawarkan mata ranking ke temasya Tokyo 2020, iaitu Terbuka New Zealand, Piala Sudirman dan Terbuka Australia.

Perlindungan terhadap rankingnya juga akan berakhir Ogos ini dan ia bakal menjejaskan peluang Chong Wei untuk beraksi dalam sebarang siri kejohanan utama anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ia mendorong jurulatih itu untuk memberi tumpuan 100 peratus terhadap Lee Zii Jia memandangkan itu sahaja prospek Malaysia daripada skuad perseorangan lelaki.

"Dengan ketiadaan Chong Wei, kami perlu bertindak dengan perancangan kedua, iaitu mempersiapkan pemain lain dan calonnya adalah Zii Jia," katanya.

Sejak pulang daripada menjalani pemeriksaan kesihatan di Taiwan, Mac lalu, Chong Wei dilaporkan sudah sebulan tidak berlatih di Akademi Badminton, Bukit Kiara.

Lebih merisaukan, ranking dunianya kini sudah menjunam ke-190 dunia.

"Kami tidak mahu mengambil risiko dengan mengharapkan dia akan kembali.

"Saya tiada masalah kalau dia akan kembali kerana kehadirannya boleh membantu pemain-pemain lain.

"Tetapi buat masa sekarang, kami akan melatih siapa yang ada," katanya lagi.