Perseorangan profesional negara, Liew Daren, kini berada dalam keadaan fizikal terbaik susulan kecederaan berulang untuk kembali mencabar tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sejak penampilan separuh akhir Masters Malaysia, Januari lalu, Daren terpaksa menangani kecederaan berulang di bahagian kaki kiri, situasi yang menggagalkannya untuk mencipta impak dalam empat kejohanan berikutnya, termasuk Seluruh England.

Selepas Terbuka Singapura yang berakhir 14 April lalu, Daren tidak menyertai sebarang kejohanan.

"Tahap kecederaan saya sudah pulih di tahap 90 peratus memandangkan saya tidak berasa sakit lagi ketika berlatih.

"Cuma masih ada rasa lenguh-lenguh selepas sesi latihan, jadi saya masih dalam proses pemulihan.

"Saya harap dalam tempoh dua minggu ini, saya tidak ditimpa apa-apa masalah lain," katanya.

Daren, bagaimanapun, dijadual akan kembali beraksi dalam Terbuka Australia, Selasa ini, untuk memulakan pengembaraan peribadi mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik.

Aksi pusingan pertama bakal menyaksikan dia mencongak perhitungan menentang wakil Indonesia, Shesar Rhustavito.

Malah, dia berkongsi perancangan mengenai jumlah kejohanan yang perlu disertai sebelum kempen kelayakan Sukan Olimpik tamat 26 April tahun depan.

"Saya akan nilai dulu tahap persembahan sendiri.

"Kalau saya mencapai keputusan yang kurang memberangsangkan dalam kejohanan yang disertai, maka saya perlu menyertai lebih banyak kejohanan lagi.

"Sekurang-kurangnya saya akan menyertai 12 kejohanan pada tahun ini.

"Saya perlu mengekalkan prestasi dalam kejohanan bertaraf 500 dan 1000 kerana ia menawarkan pungutan mata yang banyak," katanya lagi.