Pemain badminton perseorangan wanita negara, S. Kisona, tidak sabar untuk terus menyinar di pentas antarabangsa dengan meletakkan pusingan kelayakan Piala Uber di Manila bermula esok sebagai satu lagi pentas untuk menonjolkan diri.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu mencipta kejutan terbesar dalam Sukan SEA Filipina hujung tahun lalu apabila memenangi pingat emas acara perseorangan wanita.

Justeru, dia mahu terus menempa nama dalam pusingan kelayakan itu meskipun ia merupakan penampilan pertamanya dalam kejohanan berkenaan.

"Saya amat mempercayai pasukan saya kerana kami pernah bersama dalam Sukan SEA lalu.

"Jadi, saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan.

"Walaupun akan berdepan Jepun, saya akan melakukan yang terbaik.

"Saya sedar lawan itu sukar tetapi saya hanya mahu memberikan satu mata buat Malaysia," katanya.

Kisona turut menyambut baik kepulangan Goh Jin Wei, yang sebelum ini terpaksa berehat panjang kerana rawatan masalah usus ke dalam skuad kebangsaan.

Baginya, juara remaja dunia itu merupakan satu kekuatan berbeza yang boleh dipertaruhkan skuad negara di Manila.

"Saya amat gembira kerana saya akhirnya dapat menyertai satu kejohanan yang sama dengannya.

"Saya akan membuat yang terbaik untuk rakan sepasukan saya," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa