Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin, mengharapkan keberkesanan rakan sepasukan mampu mengatasi kelompongan kekurangan latihan bersama menjelang kelayakan Piala Thomas di Manila, Filipina dari Isnin hingga Ahad depan.

Menjadi pilihan untuk memperkuatkan pasukan dalam kempen kelayakan Piala Thomas, Yew Sin berharap keserasiannya di samping rakan sepasukan menjadi keutamaan.

Dia, yang hanya sempat menjalani latihan bersama rakan-rakan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama tiga hari, menyuarakan kekhuatirannya, terutama yang menjurus kepada soal keserasian dalam pasukan bagi merebut tiket pusingan akhir di Denmark, Mei depan.

"Komunikasi di antara rakan pemain-pemain lain amat penting memandangkan ia adalah acara berpasukan.

"Kami perlu saling bekerjasama," katanya sebelum berlepas ke Manila pagi tadi.

Yew Sin dan gandingan beregunya, Teo Ee Yi, digugurkan daripada program BAM ekoran prestasi hambar tahun lalu.

Namun, mereka mencipta impak apabila muncul juara dalam Kejohanan Masters Thailand bulan lalu.

"Saya berasakan prestasi sebenar kami sudah kembali berikutan telah bergandingan sejak sekian lama.

"Tetapi ada beberapa aspek lagi yang perlu dibincangkan."




Editor: Shaiful Shamsudin