Prestasi memberangsangkan pemain profesional, Liew Daren, dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia berupaya memaksa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengubah dasar pemilihan pemain bagi kempen kelayakan Piala Thomas.

Bagi memastikan Malaysia tidak kempunan slot ke Piala Thomas di Bangkok Mei depan, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, mengakui pihaknya sedia menggunakan apa sahaja cara yang dirasakan terbaik untuk kem Malaysia.

Namun, ia hanyalah saranannya berdasarkan prestasi Daren dalam Masters Malaysia dan keputusan terakhir bergantung kepada penilaian ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek.

"Semua orang juga bercakap tentang Liew Daren. Kita perlu pragmatik mengenainya. Kita juga harus menghantar skuad menggerunkan," katanya.

Biarpun bergerak solo tanpa bimbingan jurulatih, Daren muncul wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki di peringkat separuh akhir, sebelum tumpas kepada pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, semalam.

"Kami terbuka dalam soal ini. Seperti yang saya katakan, kami memerlukan skuad yang kuat.

"Kami mahukan perseorangan yang berada dalam kelompok tiga terbaik Malaysia dan ia berdasarkan prestasi semasa. Kalau begitu akhirannya, kami terima," katanya lagi.

Malaysia akan menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang merupakan kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, Kedah dari 6 hingga 11 Februari ini.