Kelewatan pulang ke Eropah menjadi punca ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, terpaksa berputih mata terlepas tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menamatkan cabaran di tangga ketiga Kumpulan Asia/Oceania kelayakan temasya itu.

Qabil Ambak yang lewat pulang ke Eropah ekoran masalah visa hanya sempat menyertai dua daripada empat kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik.

Ekuestrian berusia 40 tahun itu menamatkan cabaran di tangga ketiga Kumpulan Asia/Oceania dengan mengumpul 769 mata di belakang peserta New Zealand dan Korea Selatan.

Situasi itu memusnahkan impian untuknya mencipta sejarah sebagai ekuestrian pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik.

"Selepas masalah visa diselesaikan, kebanyakan penganjur telah menolak permohonan saya untuk menyertai kejohanan jadi saya hanya dibenarkan menyertai dua pertandingan.

"Oleh itu, pungutan mata saya tidak mencukupi untuk layak.

"Saya menganggap tiada rezeki saya pada kali ini," katanya ketika ditemu bual oleh wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di ibu kota hari ini.

Bagaimanapun, dia tidak berhasrat untuk meninggalkan sukan itu kerana masih berpeluang untuk mewakili negara dalam Sukan Asia 2022 atau Sukan Olimpik Paris 2024.