Pengembaraan Andy Murray dalam Kejohanan Tenis Wimbledon tahun ini berakhir awal selepas tewas kepada Denis Shapovalov di Gelanggang Tengah awal pagi tadi.

Juara dua kali itu menegaskan bahawa persaraan masih belum berada dalam mindanya tetapi kekalahan 4-6, 2-6, 2-6 kepada pemain pilihan ke-10, Shapovalov, merupakan peringatan terbaru mengenai kedudukan terkininya dalam dunia sukan tenis ketika ini.

Selepas menjalani pembedahan tulang pinggul, Murray bertekad untuk kembali ke pentas tenis dunia bagi menghidupkan kembali kariernya dengan meletakkan Kejohanan Wimbledon sebagai keutamaan.

Ia merupakan kali pertama Murray beraksi dalam acara perseorangan kejohanan itu sejak 2017 -- tahun di mana dia bergelar juara bertahan.

Awal tahun ini, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata bahawa dia yakin untuk memenangi kejohanan itu untuk kali ketiga tetapi dengan penyingkiran terbaru ini, dia akan berumur 35 tahun seandainya masih mahu meneruskan misi itu tahun depan.