Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, mengakui kos penganjuran Kejohanan Terbuka Malaysia lebih baik dimanfaatkan untuk membantu skuad negara menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Saya pernah menyatakan bahawa kebarangkalian untuk menganjurkan Terbuka Malaysia sangat tipis kerana ia tidak menyumbangkan kepada mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo. Sementara itu, barisan pemain dalam kalangan 30 terbaik dunia dijangka tidak akan menyertai saingan tersebut ekoran Covid-19 yang masih belum reda sepenuhnya," kata Norza ketika diwawancara wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifli.

Sebelum ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjadualkan semula saingan Terbuka Malaysia yang sepatutnya berlangsung 31 Mac lalu atas faktor penularan wabak Covid-19.

Tambah Norza, jika kejohanan berkenaan mampu diadakan dengan bantuan daripada badan induk dunia itu, ABM masih akan meneliti semula daripada sudut positif.

"Kami akan berusaha untuk menyimpan setiap sumber yang dimiliki bagi memastikan pemain negara menyertai kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik. Kami juga memastikan atlet senior akan terlibat dengan lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa."

Norza turut mengesahkan ketua jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele, selamat tiba di Malaysia semalam dan akan menjalani proses kuarantin selama 14 hari.