Dominasi Wolf dalam Kejohanan Badminton Remaja Astro Bawah 15 Tahun (B-15) peringkat kebangsaan berterusan selepas menewaskan kelab CRC Taipex Penang untuk bergelar juara.

Aksi final di Bukit Kiara hari ini menemukan dua pasukan terbaik dalam saingan kali ini, dengan Wolf dilihat lebih konsisten berbanding CRC Taipex.

Perlawanan pertama menemukan gandingan beregu campuran dengan wakil Wolf, Khor Jing Wen-Muhammad Faris, dipaksa berhempas-pulas sebelum melakar kemenangan 20-22, 21-15, 22-20 ke atas gandingan Joanne Ng May Lin-Ooi Yi Hern.

Rentak Wolf itu diteruskan dalam perseorangan lelaki.

Kali ini, Kenny Khew Han dipaksa bangkit daripada aksi hambar dalam set pertama sebelum menewaskan Samuel Lee menerusi keputusan 6-21, 21-17, 21-18.

Mata kemenangan Wolf diperoleh dalam perseorangan perempuan hasil permainan kemas Siti Nursuhaini.

Dia tidak berdepan kesukaran menewaskan Joanne dengan keputusan straight set 21-18, 21-18 untuk memastikan kemenangan 3-0 memihak Wolf.

Selaku finalis saingan kali ini, Wolf serta CRC Taipex mendapat slot untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan peringkat Asia yang akan berlangsung di Cyberjaya, November ini.

"Pasukan ini tidak mudah lemah semangat, berjuang dan terus berjuang untuk mendapatkan kejuaraan," kata pengurus Wolf, Azman Amman.

Menurut jurulatih CRC Taipex, Lim Theam Teow: "Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan anak buah saya tetapi lawan nyata bermain lebih baik.

"Sekurang-kurangnya kami belajar sesuatu dan boleh memperbaiki prestasi."