Bintang muda negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif, gagal mengekalkan tahap konsistensi apabila tersingkir dalam pusingan kedua acara perseorangan Kejohanan Badminton Remaja Asia 2019 di Suzhou, China, hari ini.

Selepas mencipta nama di pentas antarabangsa apabila merangkul gelaran Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun di Jepun baru-baru ini, anak bongsu kepada legenda beregu lelaki negara, Datuk Razif Sidek, itu kalah kepada pemain bukan pilihan dari Taiwan, Chiang Chien-Wei, 21-16, 21-17.

Turut mengalami nasib sama ialah pemain lelaki, Kok Jin Hong, dan pemain wanita, K. Letshanaa, Tan Zhing Yi dan Myisha Mohd Khairul.

Bagaimanapun, dalam acara beregu campuran, pasangan negara, Roy King Yap-Gan Jing Err, mara ke suku akhir selepas mengalahkan pasangan bukan pilihan dari Taiwan, Wu Guan Xun-Ting Ya Yun, 21-15, 21-14 dalam pusingan ketiga.

Roy King-Gan akan berdepan dengan pilihan utama, Leo Rolly Carnando-Indah Cahya Sari Jamil dari Indonesia, esok bagi memburu slot ke separuh akhir.

-- BERNAMA​​​​​​​