Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, membuktikan keampuhan apabila mudah melangkah ke final Kejohanan Badminton Kebangsaan selepas menundukkan gandingan ketiga, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen, yang berlanjutan 31 minit, hari ini.

V Shem-Wee Kiong, yang berpisah selama empat bulan sebelum kembali digandingkan tahun ini, mempamerkan aksi meyakinkan dalam set pertama biarpun membiarkan lawan mengutip mata awal.

Set kedua bertambah menarik susulan corak permainan yang ditampilkan Kah Ming-Juan Shen lebih kemas sehingga saling bertukar-tukar pendahuluan menuju ke penghujung set sebelum permainan ditamatkan V Shem-Wee Kong, 21-13, 23-21.

"Pertarungan hari ini lebih menjadi berbanding semalam. Walaupun kami ketinggalan dalam set kedua, namun kami segera bangkit," kata Wee Kiong.

Sementara itu, pasangan beregunya, V Shem pula berkata: "Jurang permainan kami semakin dekat, mungkin mereka kurang berpengalaman.".

Aksi separuh akhir beregu wanita pula menyaksikan kejutan gandingan Goh Yea Ching-Soong Fie Cho ke atas Tee Jing Yi-Yap Zhen untuk menutup aksi 37 minit itu dengan kemenangan 21-14, 22-20.

Yea Chong-Fie Cho bakal menentukan kejuaraan dengan Chow Mei Kuan-Yap Cheng Wen yang dipaksa mengerah kudrat sebelum mengetepikan cabaran Vivian Hoo Kah Mun-Teoh Mei Xing, 21-17, 20-22, 21-19.