Ketika beberapa pemain pilihan tidak menghadapi masalah menumbangkan lawan masing-masing, kejutan berlaku apabila pemain perseorangan lelaki, Soong Joo Ven, diketepikan pemain profesional, R. Satheistharan, untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Di atas kertas, Joo Ven yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, dijangka tidak menghadapi masalah untuk menundukkan Satheistharan dalam pusingan kedua itu.

Namun, jangkaan itu meleset apabila Satheistharan yang sebaliknya mengawal permainan, sekali gus mencatatkan kemenangan straight set ke atas Joo Ven 21-12, 21-13.

"Ia seperti masalah saya sendiri. Saya tidak dapat mengawalnya dengan baik yang menyebabkan keputusan itu," kata Joo Ven.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang diletakkan sebagai pilihan keenam mudah menewaskan Chong Yee Han 21-14, 21-13.

Sebelum itu, saingan dimulakan dengan beregu campuran yang menemukan pilihan pertama, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menentang Lee Jian Yi-Lee Zhi Qing dalam pusingan pertama.

Bagaimanapun, Kian Meng-Pei Jing tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan straight set 21-14, 21-14.

Turut beraksi pada sebelah pagi adalah gandingan Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei yang dipaksa berhempas-pulas berdepan Wei Chong Man-Teoh Mei Xing sebelum mencatat kemenangan 26-24, 17-21, 22-20.

Situasi sama dialami juara tahun 2017, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, ketika menewaskan Chen Tang Jie-Cheah Yee See 21-10, 19-21, 21-12.

"Saya berharap kami dapat mempertahankan gelaran. Jika itu berlaku, ia bagus untuk meningkatkan keyakinan kami untuk persiapan ke Terbuka Jerman dan Seluruh England," kata Jemie Lai.

Keputusan lain:

Soo Teck Zhi mn Goh Giap Chin 21-18, 23-21
Lee Zii Jia mn Shamsul Muzli 21-11, 21-13
Cheam June Wei mn Rozain Faiz 21-18, 21-14
Soniia Cheah mn Kourtney Kho 21-9, 21-8
Chan Peng Soon-Chow Mei Kuan mn Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Tee Jing Yi 22-20, 21-15