"Bukan senang untuk bangkit selepas bergelut dengan kecederaan." Demikian luahan pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, sejurus dinobatkan juara Kejohanan Badminton Kebangsaan 2018, apatah lagi selepas ini dia tidak akan menyertai mana-mana kejohanan dalam masa terdekat.

Imbas kembali pencapaiannya sepanjang musim lalu, Iskandar tidak menolak agak bergelut dengan kecederaan belakang yang dialaminya sehingga menyekatnya daripada beraksi dalam mana-mana kejohanan sehingga Mei tahun lalu.

Lantaran itu, gelaran pertama pada tahun ini selaku juara kebangsaan buat kali kedua selepas kali pertama mengungguli kejohanan itu tiga tahun lalu, menyuntik semangat baru buatnya untuk cuba memburu ranking 20 terbaik pada tahun ini.

"Ramai orang tidak faham apa yang saya lalui sebab ketika itu saya baru kembali daripada kecederaan, memang saya kalah dengan semua pemain.

"Keyakinan saya pun hilang tetapi kali ini, saya tampil dengan kuat dan menewaskan semua pemain," kata Iskandar.

Tiada kejohanan terdekat bakal disertai Iskandar buat masa ini, lebih-lebih lagi selepas dia tidak tersenarai dalam Terbuka Jerman, 6 Mac nanti.

Naib juara, Lee Zii Jia, tidak menolak kesihatan yang tidak mengizinkan menjejaskan sedikit aksinya dalam perlawanan akhir sehingga tewas 21-19, 21-16 di tangan Iskandar.

Pemain di ranking ketiga negara itu juga mengesahkan dia tidak akan ke Jerman selepas dimaklumkan jurulatihnya, Datuk Misbuk Sidek.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan kejohanan ini kerana bukan mudah untuk mara ke final.

"Saya cukup berpuas hati," kata Zii Jia.