Leong Jun Hao memberi bayangan bahawa dia akan mengungguli saingan Divisyen 2, Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila memenangi empat perlawanan selepas dua hari saingan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu hari ini.

Dalam perlawanan sesi pagi, bekas juara remaja Asia itu, bagaimanapun, tepaksa mengerah keringat untuk menundukkan pemain muda, Wyman Goh, selepas tewas 20-22 dalam set pertama sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-12, 21-17.

Jun Hao mengekalkan momentum sama dalam saingan sesi petang apabila tidak berdepan masalah untuk menundukkan seorang lagi pemain remaja negara, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar, 21-14 21-18.

Pencabar utama Jun Hao dalam kejohanan itu adalah seorang lagi pemain pilihan, Lim Chong King.

Chong King menewaskan Ter Chun Long 19-21, 21-16, 21-13 dalam saingan sesi pagi sebelum menundukkan Wyman 21-16, 22-20 dalam saingan sesi petang.

Dua pemain terbaik saingan Divisyen 2 akan meneruskan perjuangan mereka dalam saingan Divisyen 1 bermula Rabu depan.