Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain dalam penganjuran Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berlangsung 5 hingga 16 Ogos lalu.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, mengenalpasti beberapa pemain muda yang berpotensi diserap ke Kejohanan Piala Thomas 2020.

Ng Tze Yong, Aidil Sholeh dan Lim Chong King antara pemain muda yang mempamerkan aksi terbaik selepas berjaya menundukkan beberapa pemain profesional dalam kejohanan itu.

Choong Hann menegaskan pemain yang layak mewakili kejohanan Piala Thomas bukan sahaja perlu menunjukkan peningkatan ketika latihan malah harus mengekalkan prestasi yang konsisten.

"Secara keseluruhannya, saya dapat melihat daripada barisan perseorangan negara, terdapat peningkatan yang dipamerkan oleh barisan pemain muda negara yang berjaya merapatkan kemampuan dengan barisan senior negara," katanya.

"Daripada perspektif BAM, kami mahu generasi baru yang rajin dan sedia menampilkan permainan yang terbaik.

"Jika mereka dapat meneruskan langkah ini, dapat bersaing di tahap yang tinggi, saya dapat memberikan jaminan mereka boleh memiliki karier yang panjang."