Kejohanan Dunia: Wee Kiong-V Shem mahu elak tekanan awal

Penulis Jemputan
Ogos 11, 2017 06:04 MYT
Beregu lelaki no.1 negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, enggan meletakkan tekanan terhadap diri sendiri dalam menghadapi kempen Kejohanan Badminton Dunia di Glasglow, Scotland, 21 Ogos ini.
Biarpun diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan dan mendapat laluan percuma ke pusingan kedua, ia bukan kempen yang mudah buat pasangan lelaki negara ini, apatah lagi menempuh musim 2017 yang hambar setakat ini.
V Shem dan Wee Kiong turut berharap tunjuk ajar daripada jurulatih baru, Cheah Soon Kit, akan membuahkan hasil yang positif.
"Jurulatih, Cheah Soon Kit dan Jeremy Gan, banyak bekerjasama dalam meningkatkan lagi permainan kami di samping mengurangkan kesilapan di atas gelanggang," kata Wee Kiong.
Dalam edisi lalu di Jakarta, gandingan negara ini tersingkir dalam pusingan kedua kepada wakil China, Liu Xiaolong dan Qiu Zihan, dalam aksi straight set.
Enggan berdepan tekanan yang tidak diperlukan, Wee Kiong tidak mahu meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya mahu memberikan tumpuan sewajarnya dalam setiap aksi.
"Bagi kami, undian telah dibuat, jadi kami akan cuba membaca pihak lawan dan memberikan tumpuan terhadap pihak lawan satu demi satu," tambahnya.