Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem, enggan tragedi Kejohanan Badminton Dunia edisi lalu kembali berulang tahun ini sambil menyifatkan mereka kini berwajah baru untuk bersaing di Nanjing, China.

Pada edisi tahun lalu di Glasgow, Scotland, V Shem dan Tan Wee Kiong tersingkir seawal pusingan kedua kepada pasangan Korea Selatan, Cheung Eui Seok-Kim Duk Yong, dengan keputusan straight set, 18-21, 16-21.

Belajar daripada kesilapan tersebut, gandingan utama negara ini mahu membuktikan mereka mampu untuk menggalas cabaran, apatah lagi Malaysia kini tempang tanpa prospek utama daripada perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei.

V Shem juga yakin mereka mampu mara jauh kali ini di bawah bimbingan jurulatih, Paulus Firman, yang menggunakan pendekatan berlainan dalam memperbaiki aspek permainan mereka.

"Kami berharap dapat menampilkan aksi yang lebih baik kali ini dan mahu mara jauh dalam Kejohanan Dunia," kata V Shem.

"Tekanan sentiasa ada. Kami berharap skuad beregu negara dapat meningkat semula dan tiga pasangan beraksi di Nanjing nanti."

Malaysia juga masih boleh bergantung harap pada pasangan muda, iaitu gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang teruja untuk membuat penampilan pertama dalam Kejohanan Dunia.

Aaron menyifatkan kehadiran mereka dalam kejohanan itu bukan sebagai pelengkap jadual, sebaliknya mampu menghadirkan cabaran sengit buat lawan.

"Saya sangat teruja kerana tampil buat kali pertama dalam Kejohanan Dunia. Kami akan cuba menampilkan persembahan terbaik, tidak mengira siapa lawan di Nanjing," katanya.

Satu lagi wakil negara yang turut menggalas cabaran dalam beregu lelaki adalah Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin.