Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, mahu Datuk Lee Chong Wei terus fokus dalam memperbaiki segala kelemahan untuk Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, 21-27 Ogos ini.

Persiapan Chong Wei terus rancak bagi menghadapi kejohanan itu dengan sasaran utama sudah pasti menamatkan penantian wakil negara untuk bergelar juara.

Begitupun, Misbun mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang mampu menjejaskan kemaraan jaguh perseorangan negara itu.

Lantas, Misbun mahu Chong Wei meneliti segala kemungkinan, termasuk mengadaptasi corak permainan lawan, dengan rata-rata muka baru turut bersaing dalam Kejohanan Dunia kali ini.

"Buat masa ini, saya perlu terus menganalisis persembahan Chong Wei dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini.

"Dari situ, saya dapat mengkaji kelemahan dalam permainannya yang boleh diperbaiki bagi menghadapai saingan di Glasgow," katanya.

Dalam pada itu, Misbun turut memuji persembahan pemain remaja negara, Leong Jun Hao, yang bergelar juara remaja Asia di Jakarta, semalam.

Pemain berusia 18 tahun itu mempamer persembahan bertenaga untuk menewaskan Bai Yupeng dari China 21-6, 20-22, 21-17 dalam perlawanan akhir acara perseorangan lelaki.

"Saya hanya dapat memberikan sedikit nasihat kepada Jun Hao sebelum beraksi di Jakarta. Cabaran yang sukar menanti Jun Hao bagi terus mempertingkatkan lagi mutu permainannya."