Prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain perseorangan negara, Liew Daren, dalam Kejohanan Badminton Dunia 2018 gagal diteruskan susulan kekalahan di peringkat separuh akhir di tangan bintang Jepun, Kento Momota, di Nanjing, China, sebentar tadi.

Daren tetap berhak diberikan pujian selepas hadir ke bumi China tanpa jurulatih, namun masih mampu menundukkan lawan satu demi satu dan segalanya tampak indah pada permulaan set pertama ketika bertemu Momota yang menduduki tangga ketujuh dunia.

Aksi dalam set pertama tampak seimbang tatkala Daren lebih dominan, memimpin perlawanan untuk mendahului 5-0, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Momota memberi tekanan untuk mengejar kedudukan 6-5.

Permainan di jaring dan juga asakan ke kiri dan kanan terhadap Daren jelas memberikan kelebihan buat Momota untuk menamatkan set itu dengan kemenangan 21-16.

Kebangkitan yang diimpikan bintang berusia 31 tahun negara itu lenyap dalam set kedua apabila dia tampak hilang tumpuan, sebelum taktikal menyerap asakan lawan akhirnya memakan diri untuk Momota mengesahkan tempat ke final menerusi kemenangan set kedua 21-5.

"Sebenarnya, saya memang merangka rancangan untuk meraih kemenangan dalam set pertama memandangkan kecergasan saya tidak pulih sepenuhnya selepas aksi semalam. Malangnya, lawan jelas lebih bagus.

"Dalam set kedua, saya semakin lemah dan kesakitan pada kecederaan kaki yang dialami semalam memang mengganggu persembahan hari ini," katanya.

Untuk rekod, pemain terakhir negara yang layak ke separuh akhir Kejohanan Dunia sebelum ini adalah Datuk Lee Chong Wei pada tahun 2015 di Jakarta sebelum dinafikan peluang ke pentas akhir oleh jaguh China, Chen Long