Pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren, ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila meneruskan episod kejutan di Nanjing, China susulan kejayaan mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan wakil Jepun, Kanta Tsuneyama, 22-20, 21-23, 22-20 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 80 minit, malam ini.

Selepas mengejutkan jaguh India, K. Srikanth, semalam dalam aksi pusingan ketiga, Daren meneruskan kecemerlangannya di bumi China apabila melepasi ujian getir daripada Tsuneyama dalam set pertama untuk menang 22-20.

Walaupun asakan wakil dari Jepun itu dapat dikekang dengan baik oleh Daren, namun kecederaan yang menimpa pemain berusia 30 tahun itu merencatkan permainannya ketika aksi terikat 13-13, sebelum Tsuneyama menggunakan kesempatan terhidang untuk menyamakan kedudukan dengan kemenangan set kedua 23-21.

Bagaimanapun, kesakitan yang ditanggung jelas tidak menggugat semangat Daren untuk mendahului 12-9 dalam set ketiga dan mata demi mata terus dikutip untuk menjarakkan diri 17-11.

Tsuneyama mempamerkan kebangkitan, membolehkannya mengejar pendahuluan lawan untuk merapatkan kedudukan 18-17, namun ternyata Daren berada dalam kelas tersendiri apabila bijak mengawal situasi untuk akhirnya menamatkan permainan dengan keputusan 22-20, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir buat kali pertama.