Gandingan beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, diuji terlebih dahulu sebelum berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia BWF selepas keduanya menundukkan pasangan Jepun, Hiroki Okamura dan Masayuki Onodera dalam aksi tiga set.

Aksi cemerlang pasangan negara itu bermula baik dalam saingan bertemu pasangan Jepun itu, Okamura-Onodera yang turut mengutip mata demi mata sebelum terpaksa akur dengan kekalahan kepada V Shem-Wee Kiong 21-15.

Gagal meneruskan rentak cemerlang dalam set kedua, V Shem-Wee Kiong yang hampir memastikan kemenangan ke pusingan berikutnya sebelum tewas 24-22.

Set ketiga, V Shem-Wee Kiong bingkas mendahului permainan dengan tidak memberikan peluang langsung pasangan Jepun itu sebarang ruang sebelum menang 21-16 dan bertemu pasangan Jerman, Bjarne Geiss-Jan Colin Völker yang diberi laluan mudah selepas beregu Indonesia, Fajar Alfian-Rian Adrianto menarik diri.