Perseorangan wanita negara, S. Kisona, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Kejohanan Dunia BWF selepas tewas kepada pemain Turki, Neslihan Yigit, dalam pusingan pertama di Huelva, Sepanyol sebentar tadi.

Turun dalam aksi kedua di antara kedua-dua pemain -- Kisona tewas kepada Neslihan dalam separuh akhir Terbuka Bulgaria 2019 -- jurang ranking jelas menunjukkan perbezaan kedua-dua pemain, di mana lawan dari Turki itu lebih bijak dalam memanfaatkan setiap peluang.

Kisona di ranking ke-59 dunia terpaksa akur dengan kehebatan pemain nombor 28 dunia di gelanggang bertentangan sebelum tewas 14-21 dalam set pertama.

Pemain negara berusia 23 tahun itu memberikan tentangan lebih baik dalam set berikutnya tetapi sebaik mendahului 9-8, dia membenarkan lawan untuk meraih enam mata berturut-turut untuk akhirnya menamatkan pertarungan selama 37 minit itu dengan kekalahan 15-21 dalam set kedua.



Keputusan perseorangan lelaki:
Cheam June Wei kk Kenta Nishimoto 17-21, 8-21


*Kredit foto: Badminton Photo