Perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia BWF selepas menewaskan wakil Israel, Misha Zilberman, di Huelva, Sepanyol sebentar tadi.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu, Daren mengungguli kedua-dua pertarungan terakhir, masing-masing dalam pusingan pertama Terbuka India dan pusingan kedua Kejohanan Dunia 2018.

Pemain veteran negara berusia 34 tahun itu mengekalkan rekod bersihnya ke atas lawan berkenaan dengan kemenangan terbaru dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Dunia edisi tahun ini.

Perlawanan itu pada awalnya berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain saling berkejaran mata tetapi selepas kedudukan terikat 6-6, Daren tidak pernah ketinggalan untuk memenangi set pertama 21-14.

Laluan lebih mudah diberikan Zilberman dalam game berikutnya untuk Daren selesa menamatkan pertarungan selama 39 minit itu juga dengan kemenangan 21-14 dalam set kedua.

Bagaimanapun, aksi lebih mencabar akan menanti Daren dalam pusingan kedua, di mana dia akan menentang sama ada jaguh India, H. S. Pranoy, atau pemain pilihan kelapan dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long.