Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, menjelaskan kawalan mental dan emosi bakal menjadi penentu terhadap persembahan mereka di dalam gelanggang apabila sekali lagi diletakkan sebagai sandaran Malaysia dalam saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China, sebentar lagi.

Peng Soon-Liu Ying terpaksa menanti selama sembilan tahun sebelum berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia.

Mereka menumbangkan pilihan ke-11 kejohanan dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith, dalam aksi tiga set yang cukup mendebarkan dengan kemenangan 21-16, 17-21, 21-18.

Justeru, Peng Soon-Liu Ying, berpeluang untuk melakar satu lagi pencapaian bermakna dalam karier profesional mereka apabila berentap dengan pasangan beregu campuran dari Hong Kong, Tan Chung Man-Tse Ying Suet, dalam suku akhir.

"Persiapan kami esok (hari ini) sama seperti ketika menghadapi kejohanan biasa, ia sudah memadai.

"(Saya bimbang) kami berdepan kemungkinan terlalu ingin untuk menang dalam kejohanan utama," kata Peng Soon.

Biarpun Chung Man-Ying Suet merupakan pilihan ketiga kejohanan, namun rekod pertembungan di antara mereka agak seimbang.

Dalam dua pertemuan, masing-masing mencatat satu kemenangan ke atas satu sama lain dengan kali terakhir mereka bertembung adalah dalam Kejohanan Masters Malaysia, Januari lalu, yang berpihak kepada wakil Hong Kong itu.

"Keinginan tinggi untuk menang boleh mendorong kami terlalu memikirkan soal bahawa ini mungkin peluang terakhir kami untuk merebut gelaran dunia.

"Biarlah kami fokus selangkah demi selangkah," katanya lagi.