Beregu lelaki nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Gideon, terus kempunan dalam impian bergelar juara Kejohanan Badminton Dunia apabila dipaksa pulang awal dari Basel, Switzerland oleh gandingan Korea Selatan.

Dalam edisi 2017 di Glasgow, gandingan itu tersingkir di peringkat suku akhir, begitu juga nasib mereka setahun kemudian di Nanjing 2018.

Kali ini, mereka tersingkir lebih awal apabila terkandas dalam pusingan kedua kepada pasangan dari Korea Selatan, Cho Sol-gyu dan Seo Seung-jae.

Lebih mengecewakan, perlawanan tersebut merupakan aksi pertama mereka di Basel selepas memperoleh laluan percuma susulan undian.

Set pertama memihak pasangan dari Indonesia itu 21-16 tetapi tewas set kedua 14-21 sebelum pertarungan mendebarkan dalam set penentuan.

Kejutan yang tidak dijangka menjadi realiti apabila gandingan terbaik dunia itu tewas 23-21, sekali gus membuatkan mereka hilang kata-kata.

"Lawan bermain dengan baik dan kami kerap melakukan kesilapan hingga memberi banyak mata kepada mereka," kata Kevin.

Marcus pula berkata, "Kami sangat kecewa dengan kekalahan ini tetapi kami akan berusaha untuk bangkit dalam kejohanan seterusnya."